Friday, 8 February 2013

Teknik Memancing







Casting (teknik mengilat) adalah satu kaedah memancing dengan membuat lontaran umpan atau gewang ke sasaran kemudian mengarau kembali tanpa perlu menunggu umpan jatuh ke dasar atau diragut ikan.
Umpan yang digunakan untuk mengilat adalah seperti ikan, udang dan jenis serangga/haiwan. Umpan tiruan adalah replika gewang dan sesudu (spoon).
Ikan biasanya menerkam umpan atau gewang yang dilontar ketika proses mengarau. Teknik ini sesuai untuk aktiviti siang hari atau di kawasan terang. Jika mengilat sebelah malam, gunakan replika lut sinar.
Popping – Teknik ini lebih mirip seperti casting. Bezanya ialah penggunaan replika umpan tiruan yang berbeza. Teknik ini menggunakan ‘popper’ yang pelbagai bentuk dan jenis. Popper akan menghasilkan bunyi ‘poop’ ketika proses mengarau selepas lontaran.
Karauan untuk aktiviti popping lebih pantas berbanding casting supaya popper yang dikarau akan melanggar ombak/ permukaan air lalu mengeluarkan bunyi. Bunyi yang dihasilkan ini pula akan menarik perhatian ikan yang berkeliaran di kawasan berhampiran. Teknik ini boleh dilakukan siang atau malam.
Teknik ini banyak meniru pergerakan ikan terbang di permukaan air.
Jigging – Teknik ini mengilat secara mengujun (henjut) menggunakan umpan tiruan yang di panggil ‘jig’. Jig biasanya diperbuat daripada kepingan timah/objek berat kemudian dibentuk seperti ikan dan dicat dengan warna garang dan terang yang luminous atau lutsinar.
Teknik ini memerlukan ketekunan dan stamina tinggi kerana pemancing perlu beraksi sepanjang masa bagi mengunjun jig supaya ia menjadi efektif. Jig akan dihulurkan ke dasar kemudian dikarau kembali dengan kepantasan yang tinggi sambil mengujun joran berselang seli ketika proses karauan laju. Teknik yang menjadi kegilaan masa kini boleh dilakukan sama ada siang dan malam.
Bottom fishing – (pancing dasar) berkait rapat dengan teknik memancing menggunakan umpan dengan kaedah tradisional. Umpan perlu dilabuhkan ke dasar dengan sasaran tertumpu kepada spesies ikan dasar. Boleh dipraktikkan di kolam, sungai, tasik dan laut mengikut keadaan semasa. Sesuai dilakukan siang dan malam.
Drifting – (menghanyut) umpan terutama umpan hidup. Ia perlu dilepaskan ke sasaran tanpa menggunakan ladung. Pelampung dan belon sering digunakan. Ia sesuai di perairan yang berarus sederhana dan berangin. Boleh dilakukan siang dan malam.
Trolling – (menunda) umpan ikan, sotong mahupun gewang. Tundaan ini pada kelajuan perlahan antara 5 hingga 10 batu nautika sejam bergantung kepada jenis gewang yang digunakan. Perlu diketahui, ada gewang yang tidak boleh beraksi pada kelajuan tinggi dan sebaliknya. Lebih popular dilakukan siang hari.

No comments:

Post a Comment